Monday, December 25, 2006

KAHWIN KENAPA PERLU DISUSAHKAN



KAHWIN..KAHWIN..KAHWIN saban hari media melaporkan betapa gejala keruntuhan moral di kalangan orang Melayu semakin membimbangkan.Keruntuhan moral berkaitan dengan perilaku seksual sering menjadi bahan bacaan ‘panas’ dada-dada akhbar.

Gadis yang menjual tubuh hanya melalui tambah nilai kad pra bayar, perlakuan seks di dalam bas ekspress, perlakuan seks bebas di kalangan remaja menggambarkan betapa bangsa Melayu sedang menghadapi krisis keruntuhan akhlak yang amat teruk.

Krisis keruntuhan moral bangsa Melayu ini diburukkan lagi dengan penyalahgunaan teknologi komunikasi terkini. Gambar-gambar serta video klip lucah dengan mudah diperolehi melalui teleifon bimbit dan internet. Ianya merangsang perkembangan seksual anak-anak pada peringkat yang lebih awal.

Hanya perkahwinanlah satu-satunya jalan untuk menyelesaikan permasalahan yang berkaitan dengan keruntuhan moral seksual serta mengelakkan lebih banyak jenayah seksual.

Lebih memburukkan ianya akan membabitkan pembunuhan samada di peringkat janin ataupun bayi yang tidak berdosa dan adakalanya wanita sendiri yang sering menjadi mangsa samada dibunuh atau membunuh diri bagi menutup kesilapan dan keterlanjuran.
Akan tetapi muda mudi beranggapan perkahwinan bukanlah satu perkara yang mudah, ianya sesuatu yang menyusahkan. Bermula daripada hantaran yang tinggi yang kebiasaanya tidak kurang RM5000 mutakhir ini.

Persiapan majlis pertunangannya, persiapan kenduri kendaranya, persiapan pelaminnya, persiapan pasukan kompangnya dan banyak lagi, yang barangkali jika dibuat pinjaman untuk menguruskan kenduri kahwin ini mungkin apabila sudah beranak pinak, pinjaman bank masih belum habis dijelaskan.

Akhirnya pasangan yang sudah memuncak nafsu syahwatnya, mengambil jalan pintas, lebih baik mereka duduk bersekedudukan sementara menunggu tempoh pertunangan yang lama untuk mengumpulkan belanja perkahwinan.

Adakah ini ajaran Islam atau hanya adat kita orang Melayu? Adakah ajaran Islam yang menyusahkan pasangan muda mudi untuk berkahwin sekarang ini atau hanya adat Melayu yang meyulitkan pasangan muda mudi untuk berkahwin?

Apakah orang Melayu malu jika anak mereka tidak mengadakan kenduri besar-besaran untuk perkahwinan anak mereka, hantarannya sedikit tetapi tidak malu pada Allah apabila anak mereka keluar dengan pasangannya sebelum mereka berkahwin?

Sedangkan dalam Islam sudah dianjurkan , apabila muda mudi Islam sudah sampai tempoh mereka untuk berkahwin maka hendaklah disegerakan dan dipermudahkan.
Malah pernah kita dengar cerita bagaimana Nabi Muhammad S.A.W menyuruh para sahabat mengadakan kenduri kahwin sekadar yang mampu dan seadanya walaupun hanya dengan memberi minum air dan makan tamar.

Ini adalah kerana tujuan diadakan kenduri kahwin atau walimatul urus ini adalah untuk memberitahu kepada masyarakat bahawa pasangan tersebut telah pun berkahwin seterusnya untuk mengelakkan fitnah.

Namun kepada mereka yang mampu untuk mengadakan kenduri kahwin secara besar-besaran ianya bukanlah menjadi halangan jika niat mereka adalah untuk memberi makan kepada semua tetamu yang hadir.

Akan tetapi media harus memainkan peranan agar tidak terlalu memperbesarkan majlis kenduri kahwin yang hebat-hebat dan mewah-mewah , kerana ini sedikit sebanyak akan mempengaruhi masyarakat supaya berlumba-lumba mengadakan kenduri kahwin yang hebat-hebat.

Untuk mengawal keruntuhan moral seksual yang semakin teruk dewasa ini, media harus memainkan peranan agar mempromosi kenduri kahwin yang dibuat secara sederhana.
Kenduri kahwin yang tiada pelamin berharga beribu-ribu ringgit, kenduri kahwin yang tiada persalinan bajunya yang berpasang-pasang, kenduri kahwin yang dibuat di masjid, kenduri kahwin yang dibuat secara beramai-ramai dan sebagainya.

Dengan ini masyarakat akan berlumba-lumba untuk mengahwinkan dengan segera anak mereka, kerana mereka tidak berasa malu lagi jika kenduri kahwin hanya dibuat kenduri ‘sejambar nasi’ atau seperti kenduri doa selamat.

Muda mudi kita sekarang ini semakin keliru apakah ajaran Islam yang menyusahkan atau adat Melayu sebenarnya yang menyusahkan mereka untuk berkahwin.

Mereka membuat persiapan yang bersungguh-sungguh untuk majlis kenduri kahwin dengan mengumpul duit bertahun-tahun serta perlu ditambah pula dengan pinjaman bank.
Sebaliknya mereka tidak mempunyai persiapan yang secukupknya untuk menjadi suami yang soleh, isteri yang solehah dan mendidik anak menjadi anak yang soleh.

Akibatnya majlis kenduri kahwin dapat dilaksanakan dengan hebat akan tetapi perjalanan hidup sebagai sebuah keluarga suami , isteri dan anak-anak menjadi porak peranda.

4 comments:

MZP said...

betul, saya sokong!

Mantap, bukan sahaja sudah mempunyai isi yang mantap, bahkan bahasa juga dah lancar. Tanda bahasa pun rasanya tak ada salah langsung.

Betul, kahwin itu mudah, mengapa disusahkan! Tapi kan, bila Musa nak kahwin? :D

mus said...

hihi zaki ko doakan aku lah dimudahkan segalanya heheheh

MZP said...

Ameen ya Rabb!

Soalnya, agak-agak kau nak langsung bila? Boleh aku daqiqkan lagi doa aku tu :D

mus said...

okla ko daqiqkan lagi doa ko tu...bln8 ni ...amin...