Perspektif Ikim:
Oleh Norkumala Awang
Tekad untuk berubah perlu bermula dengan ilmu di samping iltizam teguh
Walaupun begitu, terpulang kepada hati masing-masing untuk menilai sejauh mana perubahan yang bakal dicorakkan dalam diri sama ada menginjak kepada kebaikan atau sebaliknya.Muhasabah menyoroti diri adalah lebih utama supaya dapat diselak kekurangan diri dan ia juga dapat memperbaiki keadaan diri dari semasa ke semasa. Setiap daripada kita perlu melihat jauh ke dalam diri supaya kekurangan sebelum ini dapat ditampung dengan kelebihan pada hari mendatang dengan mengamalkan konsep hari ini adalah lebih baik dari semalam.
Begitu juga jika kita tinjau dari sudut kesihatan. Berapa ramai yang menyematkan dalam hati sebagai azam tahun baru untuk menjaga pemakanan supaya kesihatan tidak terabai? Mungkin selepas berdepan ujian kesakitan, barulah seseorang merasakan bahawa kesihatan itu adalah harta yang amat bernilai. Justeru, ia perlu dijaga.Sabda junjungan Nabi Muhammad SAW yang bermaksud:
“Dua nikmat agung yang diabaikan kebanyakan orang ialah kesihatan dan masa lapang.” (Hadis riwayat Imam Bukhari, Tirmidzi dan Ibn Majah)
Justeru, tatacara hidup perlu dikekalkan atau diberi penambahbaikan supaya kesihatan jasmani dan rohani menjadi lebih mantap. Contohnya, jika sebelum ini, kita mengamalkan pemakanan sempurna tetapi masih belum berkesempatan mengamalkan senaman atau amalan jasmani lain, jadi inilah masanya menambahkan senarai azam supaya tahun mendatang, amalan itu juga menjadi keutamaan.
Begitu juga dengan perokok tegar, jika sebelum ini menghisap rokok berkotak-kotak, tahun baru perlu dijadikan titik perubahan mengurangkan kekerapan merokok sedikit demi sedikit dan akhirnya mungkin dapat meninggalkan terus tabiat merokok.
Bilakah lagi untuk kita tanamkan keazaman jika bukan sekarang? Ia bukanlah boleh berubah secara langsung tetapi memerlukan keazaman kental dan seharusnya lebih memikirkan akan peri pentingnya kesihatan diri berbanding ketagihan itu.Sudah terakam dalam sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud:
“Orang beriman yang kuat lebih baik dan dicintai oleh Allah berbanding orang beriman yang lemah.” (Hadis riwayat Imam Muslim).
Ia melambangkan kepada kita bahawa Nabi Muhammad SAW menyarankan umat Islam secara individu mahupun masyarakat mementingkan kesihatan supaya menjalani kehidupan lebih baik.
Oleh itu, setiap Muslim hendaklah berusaha sedaya upaya memperbaiki hidup secara sihat dan memperbaiki kesihatannya supaya menjadi seorang manusia yang kuat. Dengan kesihatan itulah, kita mampu mengubah nasib dan meraih kehidupan lebih baik.Apa yang penting adalah istiqamah yang menjadi pencorak ke hadapan. Mutakhir ini bukan sedikit yang menderita sakit dengan penyakit yang sebenarnya boleh diatasi melalui langkah pencegahan dari awal.
Oleh itu, kepentingan langkah pencegahan juga tidak boleh dinafikan dalam pemeliharaan kesihatan kerana ia terangkum dalam aliran hidup sihat. Langkah pencegahan juga adalah langkah berjaga-jaga bagi memastikan penyakit dapat dihindari di samping pemantauan kesihatan.
Jalan usaha dan ikhtiar sudah dilakukan, akhirnya berserah kepada penentuan Allah. Kita tidak akan rugi jika melakukan perubahan bermula dari sekarang supaya kelangsungan hidup yang diteruskan ini dapat dirasai dengan nikmat kesihatan berkekalan.Kita memulakan perubahan adalah untuk diri sendiri, masyarakat, agama dan negara. Perubahan dilakukan mestilah berteraskan ilmu. Membuat perubahan untuk kesihatan sempurna juga perlu bermula dengan ilmu di samping iltizam yang teguh.
Jika hanya ikut-ikutan dan bukan bermula daripada kesedaran diri, ia mungkin tidak mampu bertahan lebih lama. Sesuatu yang dilakukan berdasarkan kekuatan dalaman disertai pengetahuan cukup akan membuahkan hasil memberangsangkan kerana ia adalah natijah yang terbit daripada keikhlasan.
Berdasarkan ilmu dan pengetahuan yang ada, sesungguhnya setiap orang akan mempunyai pelbagai jawapan untuk mendapat nikmat yang tiada ternilai iaitu kesihatan. Usah disia-siakan ilmu yang dimiliki tetapi gunakanlah ia sebagai panduan untuk kita terus mengekalkan kesihatan.
2 comments:
Topik yang bagus telah diketengahkan oleh kamu.. semoga dapat difikirkan oleh segenap masyarakat.
bagus didedikasikan untuk perokok2 ni..hehe
Post a Comment