Tuesday, December 22, 2009

UBAH TATACARA HIDUP HARGAI NIKMAT KESIHATAN

Perspektif Ikim:
Oleh Norkumala Awang

Tekad untuk berubah perlu bermula dengan ilmu di samping iltizam teguh

MELANGKAH ke tahun baru dengan azam baru, sudah menjadi kata sepakat bagi setiap insan yang menginginkan perubahan dalam hidup. Sesungguhnya dengan azam dan semangat kental, setiap insan mampu mengubah perjalanan hidup mereka menjadi lebih berjadual dan bermakna.Sesungguhnya, setiap hati menganggap bahawa mendepani ke tahun baru sama ada tahun Hijrah atau Masihi, ia penuh dengan cita-cita dan impian yang mungkin akan dicapai serta dilaksanakan pada tahun itu.

Walaupun begitu, terpulang kepada hati masing-masing untuk menilai sejauh mana perubahan yang bakal dicorakkan dalam diri sama ada menginjak kepada kebaikan atau sebaliknya.Muhasabah menyoroti diri adalah lebih utama supaya dapat diselak kekurangan diri dan ia juga dapat memperbaiki keadaan diri dari semasa ke semasa. Setiap daripada kita perlu melihat jauh ke dalam diri supaya kekurangan sebelum ini dapat ditampung dengan kelebihan pada hari mendatang dengan mengamalkan konsep hari ini adalah lebih baik dari semalam.

Begitu juga jika kita tinjau dari sudut kesihatan. Berapa ramai yang menyematkan dalam hati sebagai azam tahun baru untuk menjaga pemakanan supaya kesihatan tidak terabai? Mungkin selepas berdepan ujian kesakitan, barulah seseorang merasakan bahawa kesihatan itu adalah harta yang amat bernilai. Justeru, ia perlu dijaga.Sabda junjungan Nabi Muhammad SAW yang bermaksud:

“Dua nikmat agung yang diabaikan kebanyakan orang ialah kesihatan dan masa lapang.” (Hadis riwayat Imam Bukhari, Tirmidzi dan Ibn Majah)

Ada kalanya, selepas sesuatu yang berharga itu tiada, barulah seseorang menghargai bernilainya nikmat berkenaan. Begitu juga dengan nikmat kesihatan, selepas kita diuji dengan kesakitan, baru berasa beruntungnya dengan nikmat yang dimiliki selama ini.Sejajar dengan itu, menginjak ke tahun baru, bukan setakat kita menyimpan azam dan impian dari segenap segi kehidupan tetapi usahlah dilupakan juga kesihatan diri yang bakal menjamin impian menjadi kenyataan.

Cuba muhasabah kembali, bagaimana gaya hidup kita sebelum ini? Adakah sudah mengamalkan gaya hidup sihat atau masih lagi memandang mudah mengenai kesihatan? Seandainya kita sudah mengamalkan gaya hidup sihat, menjaga keseimbangan pemakanan, bersyukurlah kerana kita diberi kesedaran itu dan masih memiliki nikmat kesihatan sehingga ke saat ini.

Justeru, tatacara hidup perlu dikekalkan atau diberi penambahbaikan supaya kesihatan jasmani dan rohani menjadi lebih mantap. Contohnya, jika sebelum ini, kita mengamalkan pemakanan sempurna tetapi masih belum berkesempatan mengamalkan senaman atau amalan jasmani lain, jadi inilah masanya menambahkan senarai azam supaya tahun mendatang, amalan itu juga menjadi keutamaan.

Begitu juga dengan perokok tegar, jika sebelum ini menghisap rokok berkotak-kotak, tahun baru perlu dijadikan titik perubahan mengurangkan kekerapan merokok sedikit demi sedikit dan akhirnya mungkin dapat meninggalkan terus tabiat merokok.

Bilakah lagi untuk kita tanamkan keazaman jika bukan sekarang? Ia bukanlah boleh berubah secara langsung tetapi memerlukan keazaman kental dan seharusnya lebih memikirkan akan peri pentingnya kesihatan diri berbanding ketagihan itu.Sudah terakam dalam sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud:

“Orang beriman yang kuat lebih baik dan dicintai oleh Allah berbanding orang beriman yang lemah.” (Hadis riwayat Imam Muslim).

Ia melambangkan kepada kita bahawa Nabi Muhammad SAW menyarankan umat Islam secara individu mahupun masyarakat mementingkan kesihatan supaya menjalani kehidupan lebih baik.

Oleh itu, setiap Muslim hendaklah berusaha sedaya upaya memperbaiki hidup secara sihat dan memperbaiki kesihatannya supaya menjadi seorang manusia yang kuat. Dengan kesihatan itulah, kita mampu mengubah nasib dan meraih kehidupan lebih baik.Apa yang penting adalah istiqamah yang menjadi pencorak ke hadapan. Mutakhir ini bukan sedikit yang menderita sakit dengan penyakit yang sebenarnya boleh diatasi melalui langkah pencegahan dari awal.

Oleh itu, kepentingan langkah pencegahan juga tidak boleh dinafikan dalam pemeliharaan kesihatan kerana ia terangkum dalam aliran hidup sihat. Langkah pencegahan juga adalah langkah berjaga-jaga bagi memastikan penyakit dapat dihindari di samping pemantauan kesihatan.

Jalan usaha dan ikhtiar sudah dilakukan, akhirnya berserah kepada penentuan Allah. Kita tidak akan rugi jika melakukan perubahan bermula dari sekarang supaya kelangsungan hidup yang diteruskan ini dapat dirasai dengan nikmat kesihatan berkekalan.Kita memulakan perubahan adalah untuk diri sendiri, masyarakat, agama dan negara. Perubahan dilakukan mestilah berteraskan ilmu. Membuat perubahan untuk kesihatan sempurna juga perlu bermula dengan ilmu di samping iltizam yang teguh.

Jika hanya ikut-ikutan dan bukan bermula daripada kesedaran diri, ia mungkin tidak mampu bertahan lebih lama. Sesuatu yang dilakukan berdasarkan kekuatan dalaman disertai pengetahuan cukup akan membuahkan hasil memberangsangkan kerana ia adalah natijah yang terbit daripada keikhlasan.Jika pada tahun baru ini, kita ingin mengubah gaya hidup menjadi lebih tersusun, sihat dan bermakna, ia perlu bermula dari dalam diri. Tanya dulu hati, adakah perlu membuat perubahan atau mengekalkan tabiat lama?

Berdasarkan ilmu dan pengetahuan yang ada, sesungguhnya setiap orang akan mempunyai pelbagai jawapan untuk mendapat nikmat yang tiada ternilai iaitu kesihatan. Usah disia-siakan ilmu yang dimiliki tetapi gunakanlah ia sebagai panduan untuk kita terus mengekalkan kesihatan.Jadikanlah tahun baru ini sebagai satu titik tolak membuat perubahan dalam kehidupan khususnya mengekalkan kesihatan supaya azam ditetapkan dapat dilaksanakan dengan ada kesihatan yang baik

Saturday, December 05, 2009

Aku yang belum berjiwa pejuang

Oleh : Mohd Zaki M Noor. www.mohdzaki.blogspot.com

Aku yang belum berjiwa pejuang
bila diuji susah lantas lemah.

Aku yang belum berjiwa pejuang
bila di persimpangan jalan lantas bingung.

Aku yang belum berjiwa pejuang
bila ditimpa bencana lantas sedih.

Aku yang belum berjiwa pejuang
bila dicabar sesuatu lantas ragu.

Aku yang belum berjiwa pejuang
bila diberi nikmat lantas lupa.

Aku yang belum berjiwa pejuang
bila digoda kesenangan lantas hanyut.

Aku yang belum berjiwa pejuang
bila diherdik cerca lantas pilu.

Aku yang belum berjiwa pejuang
bilakah mahu menafikan semua itu?

Friday, December 04, 2009

TIPS - TIPS MENGATASI TEKANAN DENGAN CARA ISLAM

Kita adalah sebaik-baik makhluk ciptaan Allah, namun kita masih tidak terlepas daripada menghadapi tekanan ketika bekerja. Pelbagai tekanan yang dihadapi menyebabkan hati menjadi runsing dan semua kerja tidak akan terlaksana.Tidak mustahil bagi individu yang berhadapan dengan masalah ini akan terbawa-bawa ke rumah hingga anak-anak pula menjadi mangsa. Namun, hati akan menjadi tenang sekiranya kita kembali kepada Allah. Apa jua yang dilakukan mestilah berdasarkan kepada Al-Quran dan Al-Sunnah disertai dengan niat yang ikhlas semata-mata untuk mendapat keredhaan Allah.

Terdapat beberapa tip yang boleh diamalkan bertujuan bagi mengurangkan tekanan kerja:-
Biasakan diri berada dalam keadaan berwuduk
Jiwa kita akan menjadi tenang jika membiasakan diri mengambil wuduk sebelum melakukan pekerjaan. Kerja yang susah akan menjadi senang dan mudah diselesaikan. Para pelajar misalnya, disarankan agar membiasakan diri mengambil wuduk sebelum mengulang kaji pelajaran agar apa yang dibaca akan mudah dingati.
Perbanyakkan membaca Al-Quran
Ganjaran yang besar akan diberikan Allah bagi sesiapa yang membaca Al-Quran walaupun satu ayat. Waktu yang sesuai bagi kita untuk membaca Al-Quran ialah selepas solat lima waktu dan waktu-waktu lain seperti ketika berehat dan sebelum tidur. Oleh itu, jadikanlah Al-Quran sebagai teman paling akrab pada sepanjang waktu.
Banyakkan Solat Sunat
Sebagai makhluk paling mulia di sisi Allah, kita disuruh membanyakkan amal ibadat kita sehari-hari. Antaranya, dengan mendirikan solat sunat. Solat sunat hajat, solat sunat taubat, solat sunat tasbih adalah antara pelbagai solat sunat yang terdapat dalam Islam. Kita bangun pada sepertiga malam dan mendirikan solat-solat sunat tersebut agar beroleh ketenangan dan kekuatan daripada Allah.
Selalu berdoa kepada Allah
Allah telah berpesan iaitu jangan menyembah selain daripada-Nya. Ini bererti kita disuruh berdoa hanya kepada Allah yang Maha Esa dan dilakukan secara berterusan. Waktu-waktu mustajab berdoa adalah pada malam Jumaat, tengah malam, pagi sebelum waktu Subuh, malam hari raya, ketika waktu azan dan iqamah. Insya-Allah, Allah akan memakbulkan doa setiap hamba-Nya yang benar-benar ikhlas. Namun, kita perlulah sedar bahawa sebarang rezeki tidak akan datang bergolek sekiranya tanpa usaha yang bersungguh-sungguh.Maka kita perlulah berusaha supaya mencapai sesuatu di samping berdoa hanya kepada Allah yang Esa.
Bersangka baik dengan Allah
Kita sebagai manusia biasanya tidak akan terlepas daripada berhadapan dengan ujian dalam hidup. Semuanya itu adalah ujian daripada Allah bertujuan menguji keimanan kita sebagai hamba-Nya. Oleh itu, kita mestilah bersangka baik dengan Allah dan janganlah menyalahkan-Nya jika terjadi sesuatu ke atas diri kita. Kita juga mesti percaya bahawa tentu ada hikmah di sebalik kejadian itu.
]• Lakukan kegiatan luar seperti bersukan

Orang ramai selalu berkata bahawa badan yang cerdas akan membentuk otak yang cergas. Segala tekanan sewaktu bekerja akan dilupakan apabila kita melakukan aktiviti-aktiviti luar yang dapat menyihatkan tubuh badan seperti bersukan. Situasi akan menjadi lebih menggembirakan jika kita meluangkan masa membawa keluarga pergi beriadah. Ikatan kekeluargaan juga akan bertambah erat dan kukuh.


Amal diet dengan disiplin yang kuat
Pengambilan makanan yang berlebihan dan tidak seimbang juga merupakan salah satu faktor tekanan sewaktu bekerja. Oleh itu, cara untuk mengurangkan tekanan adalah mengamalkan diet dengan disiplin yang kuat. Diet yang tidak terkawal akan menyebabkan kegemukan dan menimbulkan penyakit kronik yang lain seperti lemah jantung, darah tinggi, kencing manis.
Menangis dengan sepuas hati
Tekanan yang dihadapi sekiranya melibatkan individu yang lain dapat diredakan melalui luahan hati kita dengan menuliskan rasa ketidakpuasan hati kita itu dalam sehelai kertas. Sikap cuba menyimpan perasaan tersebut dalam hati boleh menyebabkan diri merana. "Luaran lain hati lain" ada sesetengah individu apabila mereka mengalami sesuatu tekanan, mereka seolah-olah tidak menunjukkan permasalahan mereka itu. Sebagai contoh, mereka akan sentiasa gembira bila dilihat bersama rakan-rakan tetapi dalam hatinya hanya Allah yang Maha Mengetahui. Maka dengan itulah, menangis dilihat sebagai salah satu cara kita dapat mengurangkan tekanan yang dihadapi di tempat kerja.
Hargai kebolehan diri sendiri
Kita perlu mempunyai satu sikap yang dipanggil yakin diri. Apabila kita mempunyai keyakinan diri, maka kita tidak akan mempunyai masalah untuk melakukan sesuatu pekerjaan yang disuruh oleh pihak lain sewaktu bekerja. Kita yakin bahawa kita boleh melakukan kerja yang disuruh dengan mudah dan tiada sebarang masalah yang dihadapi. Apa yang penting ialah, kita mesti menghargai kebolehan diri sendiri dan memulakan hidup dengan lebih ceria.
Cintai diri sendiri
"Cintailah diri kamu sendiri sebelum kamu mencintai diri orang lain". Jelas daripada maksud sepotong hadis ini, kita dapat memahami bahawa kita perlu mencintai diri sendiri terlebih dahulu berbanding orang lain. Diri kita yang selama ini masih pada tahap lama dalam pekerjaan perlu dipertingkatkan dengan cara yang dinyatakan di atas. Kita perlu memulakan kehidupan kita dengan ceria dan penuh dengan senyuman.

Sebagai kesimpulannya, tekanan kerja bukanlah satu bebanan yang sukar untuk diatasi. Dengan usaha yang gigih dan kesabaran yang tinggi serta jalan penyelesaian yang jitu, bebanan yang kita alami pastinya akan dapat diselesaikan dengan jayanya.